Selasa, 3 November 2015

HUBUNGAN MALAYSIA - MESIR TIDAK SEBAIK DULU ?



1. UMUM mengetahui, Kerajaan Malaysia menjemput Presiden Mesir, Presiden Al Sisi ke Malaysia bagi menghadiri Forum Antarabangsa Ekonomi Islam yang berlangsung hari ini hingga 5 November.Pengerusi forum berkenaan, Tun Musa Hitam telah datang sendiri ke Mesir pada september yang lalu sebagai special evoy Perdana Menteri untuk tujuan tersebut.

2. Umum juga mengetahui, Presiden AL SISI telah memang mengadakan lawatan ke negara asing yang tamat dua hari lepas.Beliau ke UAE, India dan berpatah balik ke Bahrain kemudian kembali ke Mesir.

3. Apakah faktor utama beliau enggan memenuhi jemputan berkenaan? Akhbar Malaysia sering memaparkan berita-berita kurang enak tentang Mesir sejak 2013.

4. Selain akhbar, media-media elektronik lain, tindak-tanduk dan sokongan terbuka beberapa NGO Malaysia terhadap pertubuhan yang dihukum sebagai pengganas oleh Mahkamah Mesir seperti Ikhwan Muslim bahkan ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Jamil Khir semasa khutbah hari raya Aidilfitri yang lalu bukan sesuatu yang boleh dianggap ringan.

5. Sewaktu Dr Morsi menang pilihanraya 2012, YAB Perdana Menteri Malaysia sendiri datang ke Mesir berjumpa Presiden baru Mesir ketika itu.Apakah wajar, pada zaman selepas kemenangan Presiden Al Sisi ini, beliau hanya menghantar Menteri Pencen? Ini seolah-olah tidak menghormati hubungan dua hala dan seolah-olah Malaysia hanya mengiktiraf Morsi?

6. Justeru, satu inisiatif agresif secara sah dan tidak melanggar undang-undang Malaysia akan digerakkan ke arah mempergiatkan kembali hubungan dua hala.


Sabtu, 24 Oktober 2015

SIHIR - MENYIHIR BUDAYA DALAM MENGHADAPI PESAING PERNIAGAAN DI MALAYSIA ?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para Blogger & Facebooker sekalian,

1.Pada bulan September yang lepas, saya mengikuti program Summer Pre Chambering (SPC) anjuran Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

2.Program tahunan ini diadakan sejak 2012sebagai kemuncak setelah para siswa -siswi Malaysia yang menuntut dalam bidang Syariah di Universiti-universiti di Mesir dan Jordan yang pulang bercuti mendapat latihan di firma guaman dan mahkamah syariah bagi mendedahkan mereka berkenaan sistem perundangan Islam di Malaysia.

3.Apa yang menarik perhatian saya kali ini, terdapat satu slot berkenaan isu-isu Sihir yang disampaikan oleh wakil dari Darul Syifak.

4.Dalam Latihan Dalam Kumpulan (LDK) pula, ditakdirkan kumpulan yang saya sertai mendapat bimbingan dari Dato Presiden PPMM sendiri, Dato Zainul Rijal Abu Bakar.

5.Pelbagai soalan diajukan, dan antara yang saya ajukan, adakah beliau sendiri alami pengalaman mistik atau sihir? Petang itu, kami mendengar dengan tekun pengalaman beliau dalam menghadapi beberapa pengalaman aneh, termasuk anak-anak beliau yang tiba-tiba berlari-lari di tengah-tengah malam, tangan tidak bermaya untuk menulis dengan tiba-tiba, mulut terkunci tidak boleh bercakap dan sebagainya.

6.Selesai program, saya masih berfikir, adakah ianya benar-benar berlaku di zaman modern dan canggih ini? Pengalaman seumpama begini, amat kurang didengari di Mesir.Apa yang sering kita dengar,hanya sekadar pukau memukau sahaja.

7.Takdir Allah, pada minggu lepas, saya dijemput memberikan ceramah penghayatan Maal Hijrah di Ayer Hitam, Johor.Saya mengambil peluang berjumpa rakan lama semasa belajar di Kedah dahulu.

KISAH SATU

8.Terakhir kami berjumpa pada tahun 2007 selepas bergelar graduan dari AL AZHAR semasa pulang ke Malaysia.Tentu banyak dibualkan selepas beberapa tahun tidak bertemu.

9.Beliau menceritakan pengalamannya jatuh naik dalam perniagaan yang berasaskan makanan.Dari restoran hingga memenangi tender di sebuah kafateria di sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam.

10.Beliau mempunyai pesaing perniagaan namun beliau membentuk strategi yang berkesan dan berjaya menarik minat penlanggan hingga mempunyai pelanggan tetap yang ramai.

11.Beliau tidak menyangka, minyak yang terdapat di pintu kedainya setiap pagi ketika mula beroperasi setiap hari mempunyai makna tertentu.

12.Tiba-tiba kedai yang dipenuhi pelanggan kosong dan lengang.Lebih menghairankan apabila para pelanggannya mengadu sebab beliau tidak beroperasi, sedangkan kedainya sentiasa beroperasi.

13.Bukan sekadar itu, beliau sering diserang penyakit dan sengal-sengal badan yang akan melemahkan.

14..Beliau berasa hairan hinggalah mendapat nasihat dari seorang rakan agar berjumpa dengan seorang ahli perubatan tradisional dan beliau diberitahu terdapat beberapa benda yang diletakkan berhampiran kedainya.Beliau kembali pulih, menamatkan kontraknya dan pulang ke kampung.

KISAH DUA

15.Selang beberapa hari saya mendengar kisah pertama, selepas habis tugasan di Johor, saya kembali ke ibu kota.Di sini, Terdapat sebuah kedai makan yang saya sering datang untuk membeli sarapan.

16.Apabila makcik ini dapat tahu yang saya ini graduan syariah dari Timur Tengah, makcik yang peramah ini meminta nasihat dari saya ayat-ayat pendinding dari gangguan makhluk halus.

17.Saya berterus - terang kepada makcik ini, saya tidak mempelajari ilmu-ilmu seperti itu.Apa yang saya ada, hanya amalan biasa untuk diri sendiri sahaja.

18.Oleh kerana sedikit kehairanan, saya bertanya kepada beliau, mengapa makcik begitu berminat dengan amalan-amalan sedemikian.

19.Beliau menceritakan kisahnya yang pernah berniaga di sebelah malam dan mempunyai pesaing.Anehnya, pesaing itu datang dari luar, dan buka kedai betul-betul bersebelahan dengannya dengan menu makanan yang sama, nasi lemak.

20.Makcik ini fikir, cukup hanya menerima cemohan dan memek muka yang kurang menyenangkan dari "rakan barunya" itu, akan tetapi, jauh lebih besar dari itu, beliau sering mengalami sakit belakang seperti seakan-akan ada "budak" dibelakangnya.

21.Seperti kisah pertama, tiba-tiba nasi lemak malam beliau tidak laku dan pelanggan-pelanggan tetapnya bertanya sebab beliau tidak berniaga malam dan hanya sarapan sahaja.

22.Beliau berasa hairan dan berjumpa dengan ahli perubatan tradisional dan menasihatkannya memerhati kawasan sekekelingnya jika tertanam sesuatu.

23.Sebaik menerima nasihat berkenaan, suami beliau meninjau dan memerhati sekeliling kedainya.Tanpa mengesyaki apa-apa, memang terdapat kesan galian kecil.Beliau meminta pertolongan anak muda berdekatan menggali kesan tersebut dan menjumpai objek-objek kecil dan paku yang tertanam kemas dengan balutan.

24.Anak-anak muda yang membantu makcik ini keesokan harinya demam dan "meracau" beberapa hari hingga mendapat ikhtiar perubatan secara tradisional.

25.Makcik ini mengambil keputusan mengalah dan tidak lagi membuka kedainya di sebelah malam dan cukup dengan menjual sarapan sahaja.

KISAH TIGA

26.Saya adalah pengguna kenderaan awam.Kebiasaanya, saya akan menaiki teksi dari stesen komuter ke apartment yang saya tumpang.

27.Dalam beberapa bulan ini, saya telah mengenali beberapa pemandu teksi yang agak berumur dan saya panggil mereka "pakcik".Memang hampir kesemua mereka orang yang sama di setesen berkenaan.

28.Saya sering diajukan pertanyaan agama dari mereka, seperti qadha solat yang ditinggalkan masa muda yang disifatkan beliau zaman jahiliah.Pernah sekali saya tertawa dalam hati, bila ada salah seorang mereka, bertanya kepada saya, bagaimana mahu berjumpa dengan Jabatan Agama Islam untuk menerima hukuman kesalahan minum arak kerana beliau ialah peminum tegar semasa zaman mudanya.Tidak perlu diceritakan disini.

29.Beberapa hari yang lepas, saya menaiki teksi salah seorang pakcik ini.Beliau menceritakan kepada saya pengalaman rakannya yang terkena "buatan orang" sejurus selepas memenangi tender membekalkan peralatan di sebuah institusi.

30.Pakcik ini berhasrat membawa saya ke rumah rakannya jika saya bersetuju.Saya menolak pelawaan pakcik ini dengan baik.

31.Kesimpulan dari tiga kisah yang saya peroleh dalam masa dua minggu ini amat menarik dan tidak terlintas di hati saya,dan tidak pernah pun terfikir di benak fikiran saya, SEORANG USTAZ DI MALAYSIA PERLU JUGA MEMPELAJARI ILMU-ILMU  MENANGANI SIHIR .

32.Kita hanya didedahkan bahawa SIHIR merupakan salah satu tujuh dosa besar.

33.Tidak pernah saya dengar cerita KEZALIMAN SIHIR di Mesir, walaupun kedai roti berdekatan antara satu sama lain, begitu juga kedai-kedai "TOKMIAH"nya.Kenapa manusia kita di Malaysia tidak bersaing secara sihat? kenapa perlu sampai sihir menyihir untuk bersaing?

34.Cabaran baru dan nampaknya, ini satu lagi cabaran buat bakal-bakal USTAZ yang bakal pulang ke Malaysia, ANDA PERLU USAHA & MENGUASAI ILMU MENENGANI SIHIR nampaknya.





Jumaat, 14 Ogos 2015

MENGENALI SEJARAH AL AZHAR

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

1.MUTAKHIR ini, timbul perbincangan di kalangan facebooker AZHARIAN berkenaan manhaj AZHARI.Saya tidak berminat menyertai perbincangan tersebut serta merta kerana berniat untuk menjaga ukhuwwah beberapa individu membangkitkan isu ini.

2.Tanpa perlu menamakan iindivu-individu berkenaan, saya kini berminat untuk memberikan sedikit  ulasan manhaj atau metod Azhari yang pernah dikeutarakan oleh beberapa tokoh Al Azhar.

3.Sebagai permulaan, suka saya berkongsi sejarah AL AZHAR.Manhaj atau metod yang diamalkan amat berkait dengan sejarah AL AZHAR itu sendiri.Tidak boleh tidak, sejarah AL AZHAR mesti disingkap terlebih dahulu.

4.Ramai dikalangan Azharian hari ini tidak mengkaji bahkan tidak mengambil peduli sejarah AL AZHAR.Lebih malang, ada yang menganggap AL AZHAR hanya sebuah universiti seperti universiti-universiti biasa yang lain.

FALSAFAH PEMBINAAN MASJID

5.Ketika Saidina Umar Al Khattab memerintah sebagai Khalifah Al Rasyidin selepas Saidina Abu Bakar As Siddiq, Islam telah berkembang dengan lebih pesat.Pada zaman ini, banyak polisi baru diperkenalkan dan diperkasa dengan asas yang pernah diperkenalkan sejak zaman Rasulullah S.A.W.

6.Antara polisi yang diperkenalkan oleh beliau ialah menghantar gabenor ke negara-negara berhampiran yang akhirnya bukan sahaja sebagai gabenor atau wakil khalifah, bahkan menjadikan sebagai wilayah yang diperintah oleh Orang Islam.

7.Antara perintah utama Khalifah Umar kepada para gabenornya ialah membuka sebuah masjid di setiap wilayah pemerintahan.Amru  Bin Al 'As dihantar ke Mesir, sebuah negara yang ketika itu diperintah oleh Bangsa Qibti yang mempunyai bahasa, tulisan dan budayanya sendiri.

8.Sebagai memjunjung titah Khalifah Umar, ketika membuka Mesir, Gabenor Amru  Bin  Al 'As membuka sebuah masjid di kota Fustat pada tahun 21 Hijrah di atas tapak masjid yang masih utuh hingga hari ini dikenali dengan nama beliau, Masjid Amru Bin Al 'As.

9.Kesan dari polisi ini, mana-mana pemerintah yang membuka kota baru akan membina masjid.Jika diteliti, polisi Saidina Umar ini diambil dari gerak laku yang ditunjukkan Baginda Rasulullah S.A.W ketika membuka kota Madinah, dimana perkara pertama yang baginda lakukan ialah mendidrikan sebuah masjid yang hari ini dikenali sebagai Masjid An Nabawi.

10.Mesir adalah merupakan negara yang mempunyai peradaban berusia ribuan tahun bahkan antara pelopor ketamadunan dunia.Selepas Islam bertapak di Mesir, ketamaduna Islam juga tercorak melalui beberapa dinasti dari Umayyah, Abbasiah, Mamluki, Al Ayyubi bahkan terakhir, dinasti paling gemilang, Dinasti Muhammad Ali Basha (1805-1952).

11.Tidak hairanlah jika Mesir juga hari ini turut dikenali dengan jolokan SERIBU MENARA, kerana setiap dinasti mmepunyai pemerintahnya, dan masjid dibina dengan pelbagai seni bina.

ASAL MASJID AL AZHAR

12.Pada tahun 359 Hijrah bersamaan 970 Masihi, Komander Jauhar As Saqiliy, Pemerintah tentera di zaman Al Muiz Li Dinillah, Pemerintah Dinasti Fatimiah di Mesir membuka kota Kaherah untuk dijadikan Ibu Negara Kerajaan Fatimiah.Pada tahun yang sama, Sebuah masjid didirikan dan dinamakan pada peringkat awalnya sebagai Masjid Kaherah sempena nama Ibu Negara Mesir.

13.Pembinaan masjid itu bermula pada 24 Jamadil Awal tahun yang sama dan siap sepenuhnya dua tahun selepas itu.Solat pertama didirikan pada 7 atau 9 Ramadhan 361 Hijrah bersamaan 972 Masihi.

14.Nama Masjid AL AZHAR menurut Prof Dr Zaki Muhammad 'Anis, Professor di Jabatan Sejarah Universti Al Azhar datang terkemudian atau semasa pemerintahan Abdul Aziz Billah (365 - 382 Hijrah), atau lebih tepat lagi selepas pembinaan Istana AL ZAHIRAH.Terdapat tiga teori kenapa Masjid Kaherah ditukar nama kepada Masjid Al Azhar menurut beliau.

- TEORI PERTAMA mengatakan, nama Masjid AL AZHAR sempena nama Istana Al Zahirah.

- TEORI KEDUA pula menyebut, nama AL AZHAR diambil dari perkataan AL ZAHER yang bermaksud, cerah, bersinar atau berkembang, sebagai sebuah motivasi dengan mengharapkan Masjid itu akan berkembang dan bersinar memainkan peranan penyebaran ilmu - ilmu Islam.

- TEORI KETIGA yang diterima oleh ramai sejarawan dan ulama-ulama AL AZHAR pula mengatakan, AL AZHAR adalah sempena nama salah seorang anak Perempuan Baginda Nabi Muhammad S.A.W, Sayyidah Fathimah AL Zahra' yang berkahwin dengan Saidina Ali R.A dan kerajaan Dinasti Fatimi sendiri ketika itu adalah nama yang dinisbahkan dengan beliau.

TUJUAN MASJID AL AZHAR

15.Pada asalnya, Kerajaan Dinasti Fathimi mendirikan masjid ini sebagai masjid negara dan pusat penyebaran Syiah, simbolik kedaulatan kerajaan yang berasaskan kerohanian.Masjid Al Azhar di zaman dinasti Fatimi ini turut berperanan sebagai sidang mahkamah, Parlimen dan sebagainya.

16.Sudah menjadi tradisi zaman itu, atau lebih tepat lagi sistem pendidikan di zaman itu, Masjid adalah merupakan tapak pengajian atau institusi pendidikan.Selain masjid Al Azhar, turut memainkan peranan yang sama ialah Masjid Toulun dan Masjid Amru Bin Al 'As.

17.Oleh kerana Syiah adalah ajaran baru di Mesir ketika itu, maka, Masjd Al Azhar adalah pusat pengajian Mazhab Syiah dan pengajian Fekh dan Qiraat adalah subjek keutamaan.Kelas pengajian pertama diadakan adalah pada tahun 369 Hijrah yang dikendalikan oleh Yaakob Bin Kalis yang mengajar Fekh kitab karangan beliau.Kelas ini turut dihadiri oleh para hakim dan pembesar negara.

18.Sesi pengajian di Masjid Al Azhar ketika itu mempunyai ramai tenaga pengajar dan didatangi oleh ramai pelajar.Biasiswa turut diberikan kepada para pelajar yang melanjutkan pengajian di Masjid Al Azhar.

SULTAN AL AYYUBI DAN AL AZHAR

19.Sultan Salahuddin Al Ayyubi yang yang mendirikan kerajaan dan dinasti di Mesir adalah pemerintah Islam yang memerangi ajaran Syiah dan penyebar ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

20.Melihat peranan penting Al Azhar sebagai sebuah institusi ulung pendidikan yang mendapat perhatian kerajaan dan mendapat sambutan yang luas, sistem pendidikan di AL AZHAR diubah dari pusat penyebaran Syiah kepada pusat ilmu dan dakwah Ahli Sunnah wal jamaah yang bermazhab Syafei pada 567 Hijrah.Pengajaran SYIAH dan KHUTBAH SYIAH dilarang bermula saat itu hingga hari ini.

21.Mengikut mazhab Syafei, dalam satu Qariah, hanya satu sahaja Masjid yang boleh didirikan Solat Jumaat.Oleh yang demikian, solat Jumaat hanya diadakan di sebauh Masjid lain dan solat Jumaat tidak diadakan dalam Masjid AL AZHAR selama 100 tahun di bawah dinasti AL AYYUBI.

22.Selepas tamat Dinasti AL AYYUBI, Mesir diperintah Dinasti AL MAMALIK dan solat Jumaat didirikan kembali pada tahun 665 Hijrah dengan amalan AHLI SUNNAH WAL JAMAAH mengguna pakai mazhab rasmi kerajaannya, Mazhab Hanafi.

23.Mazhab Hanafi membenarkan solat Jumaat didirikan di banyak masjid dalam satu Qariah dan ini berkekalan hingga hari ini.Sebab itulah di Mesir, jarak antara masjid - masjid yang mendirikan solat jumaat amat hampir antara satu sama lain sehingga pelajar kita di Mesir hari ini mudah untuk membezakan antara masjid yang pendek atau panjang khutbahnya.

CUBAAN TRANSFORMASI SISTEM PENDIDIKAN AL AZHAR

24.Sejak Ahli Sunnah Wal jamaah mengambil alih pengajian di Masjid Al Azhar, pengajian pelbagai Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah diadakan.Banyak Halaqah ilmu diadakan dan dari situ lahirnya pelbagai ulama terkenal dan sarjana Islam yang terkenal hingga hari ini yang sumbangannya bukan sedikit dalam dunia Islam.Antaranya,Ibnu Hajar Al Asqalani, Syeikh Al Baijuri dan sebagainya.Bahkan terdapat kata-kata bebrapa tokoh yang mengatakan, ketokohan ulama masa kini mesti dicelup walau sebentar di Al Azhar.

25.Sesuai dengan peredaran zaman, sistem pengajian hanya secara halaqah - halaqah perlu diubah sesuai.Pengajian secara KITAB TERTENTU SAHAJA diubah kepada MANHAJ ILMU.Oleh yang demikian,  sebuah usaha pembaharuan dilakukan bermula pada tahun 1872 Masihi atau di zaman dinasti Muhammad Ali Bahsa.

26.Sistem pendidikan amat rapat dengan polisi politik kerajaan yang memerintah.Jika gagal sistem pendidikan, maka sistem kerajaan juga akan turut menjadi kerajaan yang gagal.Oleh yang demikian, antara asas pembinaan negara baru dinasti Muhammad Ali Basha pada tahun 1805 ialah transformasi sistem pendidikan untuk menjadikan Mesir setaraf dengan Barat atau Eropah.

27.Pada tahun 1826, Muhammad Ali Basha memperkenalkan polisi Menghantar Cerdik Pandai Mesir ke Luar Negara.Al Azhar sebagai sebauh institusi pendidikan ulung di Mesir terpilih untuk mengikuti program berkenaan.

28.Ramai pelajar-pelajar Al Azhar ketika itu dihantar melanjutkan pengajian ke Paris untuk mempelajari  metodologi-metodologi ilmu baru sebagai satu langkah kearah pembaharuan atau transformasi ilmu dengan memasukkan medotologi kajian modern dalam ilmu yang dikuasai.Dari polisi kerajaan dan program inilah lahirnya Syeikh Rif 'at At Tahtawi.Walaubagaimana pun, usaha ini mendapat tentangan ulama-ulama yang berfikiran lama.Seruah-seruan pembaharuan mula kedengaran dan paling lantang ketika akhir kurun ke 19 ialah Syeikh Muhammad Abduh dan Syeikh Jamaluddin Al Afghani.

MULA TRANSFORMASI SISTEM PENDIDIKAN AL AZHAR

29.Pada tahun 1872, di zaman Syeikh Muhammad Al Abbasi Al Mahdi sebagai Syeikhul Azhar, sebuah undang-undang mula digubal untuk memperbaharui sistem pendidikan Al Azhar merangkumi Metod Pengajian, Sistem Pentadbiran dan sistem peperiksaan mula diperkenalkan iaitu Ijazah Antarabangsa atau Al Syahadah Al Alamiah dimana, para pelajar yang mahu mendapat ijazah tersebut perlu menghadapi sesi peperiksaan secara lisan di hadapan beberapa syeikh yang dilantik dari kalangan ulama Al Azhar.

30.Di zaman Syeikhul Azhar Al Marhum Syeikh Salem Al Bashari pula, sebuah lagi akta Al Azhar diperkenalkan pada tahun 1911, akta bernombor 10 tahun 1911.Akta ini dianggap amat penting dalam proses transformasi Al Azhar dalam masa yang sama, kekal menjaga medotologi ilmu dan pengajarannya, dan melalui akta ini, kuasa Syeikhul Azhar ditentukan, Majlis Tertinggi Ulama Al Azhar dan Jemaah Ulama-ulama besar Al Azhar ditubuhkan, Para Syeikh Mazhab-mazhab yang empat diwujudkan dimana setiap mazhab mempunyai seorang Syeikh dan memasukkan ilmu-ilmu baru dalam sistem pengajian Al Azhar.

 SISTEM KULIAH DIPERKENALKAN

31.Sesuai dengan peredaran zaman, pengajian di Al Azhar dikaji semula di Zaman Syeikhul Azhar Syeikh Muhmmad Al Ahmadi, dan hasilnya terbentuk akta bernombor 49 Tahun 1930.Jika akta sebelum-sebelum ini memperuntukkan transformasi yang merangkumi pentadbiran Al Azhar, kali ini, Akta ini hanya khusus tertumpu kepada Sistem Pengajian Al Azhar sahaja.

32.Dengan akta baru ini, sistem pengajian Al Azhar bukan lagi secara halaqah-halaqah di Masjid Al Azhar, sebaliknya sistem baru ini membentuk formaliti pengajian bermula seawal di peringkat rendah,  menengah yang dikenali sebagai Maahad Ad Diniah Al Ilmiah Al Islamiah (hari ini dikenali sebagai Maahid Al Azhariah atau Maahad - maahad Al Azhar).

33.Setelah selesai sistem pengajian di peringkat menengah di Maahad, seterusnya pengajian diteruskan di peringkat kuliah takhassus yang menyerupai Universiti walaupun pada ketika itu belum disebutkan secara rasmi sebagai Universiti atau Jamiah.Kuliah ditawarkan pada ketika itu hanya TIGA (3) kuliah sahaja iaitu Syariah, Usuluddin dan Bahasa Arab sahaja.

SYEIKH AL MARAGHI TOKOH TRANFORMASI AL AZHAR

34.Akhirnya, Al Azhar mempunyai sistem yang sama di peringkat antarabangsa seperti yang diamalkan di semua institut pengajian tinggi di zaman Syeikhul Azhar, Syeikh Muhammad Mustafa Al Maraghi yang memegang tampuk pemerintahan Al Azhar dari tahun 1935 hingga 1945.

35.Sebuah Akta bernombor 26 Tahun 1936 digubal untuk melengkapkan proses transformasi Al Azhar bagi membentuk sebuah institusi bertaraf antarabangsa, maka, tertubuhlah Universiti Al Azhar sebagai akta pertama yang membuka laluan tertubuhnya Universiti Al Azhar walaupun sebenarnya sistemnya bermula hampir 1000 tahun sebelumnya.

36.Sistem yang diperkenalkan ini, bukan lagi bersifat MEMPELAJARI KITAB SEMATA, bahkan MEMPELAJARI ILMU DAN METODOLOGI ILMU.Dengan sistem baru ini, Al Azhar sama taraf dengan semua institusi bertaraf antarabangsa, dan mempercepatkan proses melahirkan cendikiawan dan sarjana Islam.Dengan sistem ini, lahir banyak ulama terkenal, antaranya Prof Dr Ramadhan Buthi, Prof Dr Wahbah Al Zuhayli, dan banyak lagi tokoh agamawan bertaraf antarabangsa yang mempunyai banyak tinggalan ilmiah walaupun telah meninggal dunia dan tokoh yang dilahirkan Al Azhar itu melangkaui geografi dan benua di dunia.

37.Sebenarnya, banyak sumbangan beliau dalam proses rangka transformasi ini dan usaha ke arah lebih memperkemaskan Al Azhar walaupun dalam masa yang singkat, iaitu sekitar sepuluh tahun pentadbirannya.Beliau meninggal dunia pada 22 Ogos 1945.Jika beliau hidup lebih lama, pasti lebih banyak pembaharuan dilakukan.

38.Walaupun beliau telah meninggal dunia, proses pembaharuan tersusun itu difahami oleh pengganti-pengganti beliau kerana beliau telah meletakkan asas yang kukuh dan difahami oleh generasi seterusnya.

39.Kuliah Al Azhar bertambah dari hanya tiga kuliah yang fokus bidang agama kepada lebih banyak kuliah melalui penstrukturan semula pentadbiran Al Azhar pada tahun 1961 selepas Akta bernombor 103 AL AZHAR digubal.Ketika itu, Syeikh Muhammad Syaltut adalah merupakan Syeikhul Azhar. 

40.Selepas akta ini digubal, beberapa kuliah baru diwujudkan seperti MUAMALAT atau PENTADBIRAN PENIAGAAN, FAKULTI PENGAJIAN ISLAM KAMPUS WANITA, KEJURUTERAAN, PERUBATAN, PERTANIAN, PENDIDIKAN dan akta ini membuka ruang kepada Al Azhar untuk membuka fakulti-fakulti baru.

41.Walaupun pengajian ilmu menggantikan pengajian kitab, Al Azhar tetap tidak meninggalkan sistem pengajian turath atau kitab kuning yang merupakan khazanah asal ilmu - ilmu Islam yang ditulis oleh ilmuan dan sarjana Islam sejak sekian lama.

42.Bagi kuliah syariah, pengajian subjek utama seperti Fekh dan Usul Fekh, pengajian kitab turath  secara tekstual merupakan sebahagian dari manhaj pengajian dan ini akan dibahaskan dalam bahagian akan datang berkenaan MANHAJ PENGAJIAN AZHARI.

43.Adalah telalu dangkal bagi sesiapa yang menganggap sistem pengajian di universiti secara kuliah adalah jauh dari MANHAJ AZHARI daN tidak layak dipanggil AZHARI.Berdasarkan kajian sejarah ini membuktikan, pengajian secara MANHAJ atau PENGAJIAN ILMU adalah salah satu transformasi Al Azhar berbanding pengajian secara KITABI atau menghabiskan kitab dari jilid ke jilid, kerana ianya memakan masa yang lama.Bayangkan, jika manhaj kitabi dijadikan asas, sudah barang tentu untuk menghabiskan pengajian FEKH sahaja terdapat puluhan bahkan mungkin ratusan kitab yang perlu dihabiskan!! Berapa lamakah masa yang perlu diperuntukkan untuk menamatkan ijazah sarjana muda? 

44.Para Syeikh terdahulu membuat pembaharuan atau transformasi untuk kita berjalan seiring dengan zaman yang dilalui kerana Syariat Islam itu sesuai di setiap zaman dan tempat.

45.Walau bagaimana pun, pengajian tradisional secara KITABI tetap diteruskan di RUWAQ-RUWAQ atau anjung-anjung yang terdapat di sekitar AL AZHAR.Ianya bersifat TAMBAHAN dan BUKAN ASASI.Jika ada masa, pergilah, jika tidak, fahami dan khadami manhaj di kuliah adalah memadai.Talaqqi bukan hanya bermaksud duduk bersila lutut bertemu lutut, bahkan makna talaqqi itu luas sesuai dengan keadaan semasa.

46.Kesederhanaan Al Azhar dalam konteks ini terserlah.Jika tidak, pasti pengajian kitab - kitab turath dimansuhkan dalam manhaj Al Azhar.Jika anda pelajar syariah, bukankah MINHAJ AT TALIBIN sedang dikuasai? Manhajnya dibahaskan dalam sesi kuliah!!! Untuk subjek Usul Fekh, Nihayatul Sul karangan Imam Isnawi juga manhaj pengajian.Kedua-duanya kitab turath akan tetapi apa yang diajarkan adalah manhaj, bukan jilid ke jilid.Dari kitab itu, kita akan mudah membuka kitab-kitab lain.

47.Untuk lebih jelas lagi insyaallah akan dibahaskan dalam entry akan datang betkaitan MANHAJ AZHARI.








Selasa, 2 Jun 2015

MULA MENULIS

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Melalui blog ini, saya akan mula menulis insyaallah.Blog sebelum ini, Ezoegypt Telah dipadam.